HomeBeritaDr Noor Hisham kembali aktif di Hospital Putrajaya

Dr Noor Hisham kembali aktif di Hospital Putrajaya

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang baru sahaja mengumumkan persaraannya pada April lalu seakan tidak boleh duduk diam, apabila beliau kini kembali aktif dalam sektor kesihatan awam negara.

Menerusi catatan di laman Facebooknya pada Selasa, bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu mengumumkan bahawa beliau kembali bertugas di Institut Endokrin Hospital Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata, beliau akan memberikan khidmatnya di blilik pembedahan pada setiap hari Isnin.

Sementara, pada setiap hari Selasa pula, beliau akan memberikan konsultansi di klinik.

“Semoga Institut Endokrin ini akan dapat memperkukuhkan lagi perkhidmatan perubatan dan pembedahan endokrin dalam negara dan seterusnya kekal menjadi pusat kecemerlangan bertahap antarabangsa. Insya-Allah,” tulisnya.

Dr Noor Hisham (empat dari kiri) bergambar bersama kakitangan di Hospital Putrajaya. -Foto: FB Noor Hisham Abdullah

Dalam hantaran sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan, Institute Endokrin berkenaan meliputi sebuah blok 10 tingkat dengan 220 buah katil merangkumi Unit Rawatan Rapi ICU (dewasa 10 katil, pediatrik 8 katil) serta Dewan Bedah Hibrid (Neuro-Endokrin Berintegrasi).

Tidak ketinggalan, jelas beliau, terdapat empat Dewan Bedah telahpun mula beroperasi pada minggu lepas.

Dr Noor Hisham bersara wajib sebagai Ketua Pengarah Kesihatan pada 19 April lalu, selepas 35 tahun mencurahkan khidmat dalam sektor kesihatan awam negara.

Beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Pengarah sejak 2013 dan sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau antara individu penting ketika negara berdepan krisis kesihatan ketika pandemik COVID-19.

Bahkan, Dr Noor Hisham disifatkan oleh rakyat Malaysia sebagai ‘wira’ rakyat melalui pencapaian terbaik pasukan kesihatan di bawah pimpinannya dalam memerangi penularan virus itu.

 

Author

Pilihan Editor