PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 20 tahun terhadap seorang bekas pelayan restoran warganegara Bangladesh kerana menyebabkan kematian isteri dengan cara mengeratnya kepada enam bahagian, lima tahun lalu.
Wanita itu dipenggal kepala manakala jasadnya dikerat dan disumbat dalam dua bagasi berasingan sebelum ditemukan di tepi Sungai Gombak berhampiran Jalan Ipoh di ibu negara.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian terhadap Md. Shahzada Saju, 42, selepas menolak rayuannya terhadap hukuman.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah berpuas hati, hakim Mahkamah Tinggi tidak melakukan kesilapan ketika menjatuhan hukuman manakala tempoh pemenjaraan yang dikenakan tidak keterlaluan.
“Panel ini tidak berhasrat untuk mengurangkan hukuman dan mengusik keputusan Mahkamah Tinggi. Kami mengambil kira faktor kepentingan awam bahawa kes ini melibatkan pembunuhan ngeri seorang wanita yang mana sebagai suami, perayu sepatutnya menjaga isterinya,” ujar Hakim Vazeer Alam.
Pada 7 Ogos 2018, Md. Shahzada asalnya didakwa membunuh Sajeda-E Bulbul, 30, yang juga warga Bangladesh di bilik tidak bernombor, 98C Jalan Sultan Azlan Shah pada 4.05 pagi, 3 Julai 2018 dan 3.16 pagi, 5 Julai 2018.- Kosmo!