HomeSukanHafizh janji julang JDT Racing Team

Hafizh janji julang JDT Racing Team

PELUMBA negara, Hafizh Syahrin Abdullah nyata teruja dengan peluang diterimanya, bersama pasukan JDT Racing Team yang akan membuat penampilan di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), tahun depan.

Hafizh yang ketika ini beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) berkata, peluang sebegitu sememangnya tidak akan dilepaskan oleh mana-mana atlet dengan pelumba berusia 29 tahun itu berazam untuk menaikkan nama pasukan di persada antarabangsa.

“Saya amat bersyukur, teruja dan berterima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor kerana memberi peluang kepada saya menjadi sebahagian daripada keluarga JDT.

“JDT telah terbukti, apabila membuat sesuatu mesti bersungguh-sungguh dan profesional. Jika dilihat kemampuan dari segi fasiliti, kemajuan dan sumber yang disediakan adalah sangat baik.

“Saya harap saya dapat menunjukkan kebolehan saya yang sebenar dalam memastikan JDT Racing Team berjaya sebagai pasukan yang boleh menaikkan nama JDT dalam sukan permotoran.

“Jika mana-mana atlit diberi peluang dan berkhidmat untuk JDT, sudah pasti tidak akan lepaskan peluang ini. Oleh itu, saya amat menantikan kerjasama bersama JDT Racing Tam pada tahun 2024 dalam ARRC,” kata Hafizh dalam satu kenyataan media, hari ini.

Baru-baru ini, hantaran di Facebook Johor Southern Tigers, JDT Racing Team akan mula beraksi di ARRC pada 2024 selepas menceburi sukan lain seperti bola sepak, futsal, polo, tinju dan hoki ais.

“JDT Racing Team akan mula beraksi di ARRC dengan hasrat untuk bersaing dalam Kejuaraan Superbike Dunia,” menurut hantaran yang dimuatnaik Johor Southern Tigers itu. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor