HomeBeritaMahkamah & JenayahPemilik syarikat didakwa kes rasuah RM22.76 juta berkaitan beras

Pemilik syarikat didakwa kes rasuah RM22.76 juta berkaitan beras

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berhubung tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bagi projek membekalkan produk beras kepada Kedah Agro Holding Bhd berjumlah RM22.76 juta, enam tahun lalu.

C Kuganeswaran, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob yang mana tertuduh sedang mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital di Klang, Selangor.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan kes yang dikendalikan Mahkamah Sesyen di sini, lelaki itu didakwa memberi tiga set dokumen tuntutan palsu kepada seorang ejen SME Development Bank Malaysia Berhad mengenai pembiayaan ‘Commodity Murabahah Term Financing- I Facility/ Commodity Murabahah Revolving Financing- i Facility (CRMF-i– III) bagi projek membekalkan produk beras kepada Kedah Agro Holding Bhd berjumlah RM22.76 juta yang mana pembekalan tersebut tidak dilakukan.

Kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat SME Development Bank Malaysia Berhad di sini, pada 27 Januari, 1 dan 14 Mac 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai palsu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramai.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 bagi semua pertuduhan termasuk syarat tambahan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM berdekatan sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 23 November depan untuk sebutan kes.

 

Author

Pilihan Editor