HomeBeritaLebih 10,000 sertai Himpunan 10K Solidariti Palestin berhampiran Kedutaan AS

Lebih 10,000 sertai Himpunan 10K Solidariti Palestin berhampiran Kedutaan AS

KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 orang menyertai Himpunan 10k Solidariti Palestin berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di ibu negara pada Sabtu.

Himpunan anjuran PAS itu bermula kira-kira jam 1.45 tengah hari di Jalan Binjai, Persiaran KLCC sebelum bergerak ke Jalan Tun Razak, berhampiran Kedutaan AS.

Menurut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, himpunan itu bagi mendesak rejim zionis Israel menghentikan tindakan zalim terhadap rakyat Palestin.

“Himpunan kali kedua ini dibuat setelah rejim zionis semakin ganas dengan mengebom hospital dan membunuh orang tidak bersalah… dan kita berikan mesej ini kepada mereka supaya mereka dapat fahami bahasa kita.

“Kita mahu Palestin itu dibebaskan dan diberikan hak. Israel perlu keluar dari Palestin secara terhormat, kalau tidak kita tak tahu apa akan berlaku,” katanya.

Tegas Afnan, pendirian Ahli Parlimen Pas dan Perikatan Nasional (PN) amat jelas menyokong Palestin yang berhak mendapat hak kemerdekaan negara itu.

“Kita sebut secara aman, bersuara secara aman supaya mereka (Israel) memahami bahasa kita. Kita juga perlu memahami umat Islam Palestin dan seluruh dunia mempunyai satu ikatan akidah yang akan mempertahankan Palestin pada bila-bila masa kami diperlukan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media dalam perhimpunan itu pada Sabtu.

Pemerhatian Astro AWANI mendapati peserta memegang bendera Palestin dan sepanduk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim zionis Israel.

Antara pemimpin politik yang menyertai himpunan ini adalah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, selain Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali.

Lebih 40 anggota polis berkawal sepanjang himpunan itu bagi memastikan keselamatan para peserta perhimpunan.

Bagaimanapun, peserta hanya dibenarkan berhimpun kira-kira 180 meter daripada bangunan Kedutaan AS. – Awani

 

Author

Pilihan Editor