SEBUAH jenama aiskrim mewah Jepun, Cellato mencipta rekod baharu Guinness menerusi penghasilan aiskrim termahal di dunia dengan harga AS $6,696 (RM31,832) untuk satu hidangan.
Guinness World Records mengesahkan aiskrim termahal keluaran Cellato itu, dikenali Byakuya yang kaya dengan protein.
Lapor portal Foodandwine, Byakuya terdiri daripada asas baldu yang diperbuat daripada susu, dua jenis keju, kuning telur, sake leek dan dihiasi dengan keju parmigiano, truffle putih, minyak truffle serta daun emas.
Salah satu bahan istimewa dan mahal yang menjadikan aiskrim ini mewah adalah truffle putih yang berasal dari Alba, Itali yang berharga sekitar AS$14,900 (RM70,544).
Pada masa sama, ia mengandungi gelato gred tinggi yang memiliki rasa kurang manis dan tekstur yang mewah dan licin.
Aiskrim termahal ini dibungkus kemas dalam kotak hitam bersama sudu logam buatan tangan ciptaan Takeuchi di Fushimi, Kyoto dengan menggunakan teknik dan bahan yang digunakan dalam pembinaan kuil.
Bagaimanapun, harga aiskrim berkenaan tidak merangkumi sudu tersebut.
Menurut Cellato, bagi mendapatkan tekstur yang lazat disyorkan supaya aiskrim tersebut dibiarkan lembut sedikit sebelum dihidangkan agar sudu logam dapat masuk ke dalamnya dengan mudah.
Kemudian, campurkan minyak truffle untuk rangsangan rasa yang kuat dan nikmat yang tidak terkata.
Aiskrim Byakuya tidak mempunyai tarikh luput, tetapi Cellato mengesyorkan agar memakannya dalam masa 10 hari untuk menikmati rasa dan tekstur sepenuhnya.