PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan bahawa rakyat berhak mengetahui alasan Ahli Parlimen untuk tidak menghadiri atau ponteng sidang Dewan Rakyat.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, perkara tersebut penting berikutan gaji serta elaun mereka dibayar oleh rakyat.
“Rakyat bayar gaji saya dan Ahli Parlimen yang lain untuk membawa isu-isu rakyat di dalam Parlimen, bukan untuk ponteng dan makan gaji buta.
“Rakyat berhak tahu mengapa ada yang hadir 100 peratus dan yang ponteng tanpa sebab,” katanya seperti dilapor FMT.
Beliau berkata demikian bagi menyokong cadangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk memaparkan nama-nama Ahli Parlimen yang didapati dengan sengaja tidak hadir atau ‘ponteng’ sidang Parlimen di laman web Dewan Rakyat.
Sabtu lalu, Johari berkata tindakan itu antara beberapa penambahbaikan yang akan dilaksanakan bagi meningkatkan kehadiran Ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi serta kawasan Parlimen diwakili.
Menurut Johari, cadangan itu akan dibincangkan bersama jawatankuasa Parlimen yang turut dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen daripada pihak pembangkang dan juga kerajaan.