JOHOR BAHRU: Seorang lelaki ditemui maut selepas terjatuh dari tingkat enam bangunan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, petang semalam.
Mangsa berusia 22 tahun itu dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 5.20 petang, selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang pemegang kad orang kelain upaya (OKU) mental.
Menurutnya, mangsa dimasudkan ke wad pada pukul 12.30 pagi, 5 November kerana perlu menjalani pembedahan kaki kanan yang dijadualkan pada 8 November ini.
“Namun pembedahan dibatalkan kerana mangsa mengalami selsema dan si mati telah dibenarkan keluar hospital.
“Mangsa dipercayai terjun dari tingkat enam bangunan hospital dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya memetik Kosmo pada Selasa.
Tambah Raub, siasatan polis di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan mati mengejut (SDR).
Maklumnya, saksi kejadian diminta tampil membuat laporan bagi membantu siasatan di Balai Polis Taman Setia Indah di sini atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor S. Sri Amutheyindharan Chettiar ditalian 016-2203465.