HomeBeritaPolitik'Gua Musang sudah, yang lain bila lagi?' Puad saran lebih ramai Ahli...

‘Gua Musang sudah, yang lain bila lagi?’ Puad saran lebih ramai Ahli Parlimen PN sokong Anwar

CYBERJAYA: Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi memuji tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuatkuasa Selasa.

Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, Mohd Azizi sanggup menerima risiko berdepan dengan tindakan disiplin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), demi mengutamakan pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasannya.

“Memang berani kerana umum sokong PMX setelah dua rakannya MP (Ahli Parlimen) Kuala Kangsar dan Labuan digantung,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.

Sebelum ini, Mohd Azizi berkata, keputusan menyokong Anwar dibuat bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasannya terbela, selain terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur.

Beliau merupakan Ahli Parlimen daripada Bersatu yang ketiga mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Oktober lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.

Iskandar dan Suhaili kemudian digantung keahlian Bersatu masing-masing selama empat dan enam tahun.

Pada masa sama, Mohd Puad menyarankan beberapa Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) supaya melakukan langkah sama seperti ketiga-tiga individu terbabit, menerusi sokongan terhadap kepimpinan Anwar.

Hal ini disebabkan beliau menganggap kepimpinan PN seolah-olah semakin lemah serta kurang mendapat sokongan rakyat.

“MP Jeli, Tanah Merah, Ketereh, Hulu Terengganu, Sungai Besar dan Langkawi bila lagi?

“Jangan tunggu lama-lama. Kapal lama semakin tenggelam. Welcome aboard,” tulisnya lagi.

Author

Pilihan Editor