ALOR GAJAH: Seorang pelajar semester satu Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Masjid Tanah di sini terpaksa mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami kecederaan selepas terlibat dalam pergaduhan di asrama, Jumaat lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, kejadian disedari oleh warden asrama kira-kira pukul 9.10 malam.
“Seorang pelajar semester satu didapati mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan lanjut sebelum laporan polis dibuat pada pukul 6 petang keesokan harinya.
“Pelajar berkenaan bagaimanapun telah dibenarkan keluar hospital pada pukul 5.45 petang semalam dan kes ini masih dalam siasatan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambahnya, pihak pengurusan KKTM sedang melakukan siasatan dalaman dan tindakan bersesuaian akan dikenakan terhadap mereka yang terlibat.
“Pihak kolej akan melaksanakan tindakan disiplin sekiranya pelajar terlibat didapati bersalah mencetuskan pergaduhan itu,”ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes tersebut bagaimanapun tidak melibatkan elemen buli atau unsur gangsterisme,” katanya ringkas. – Kosmo