HomeBeritaKonsert Coldplay: Anwar Ibrahim akan jumpa Mufti

Konsert Coldplay: Anwar Ibrahim akan jumpa Mufti

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan bersama Mufti Wilayah Persekutuan berhubung isu konsert Coldplay yang dijadualkan berlangsung pada esok di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menurut Anwar, pertemuan itu susulan wujudnya gesaaan segelintir pihak agar konsert Coldplay ‘Music Of The Spheres World Tour’ dibatalkan.

Namun begitu, Anwar menjelaskan Coldplay adalah antara kumpulan yang menyokong Palestin dan ada pihak menggesa supaya konsert tersebut tidak dibatalkan.

“Coldplay ini antara kumpulan yang menyokong Palestin dan dalam kerajaan lalu pun ia diluluskan juga, jadi saya akan bincang dengan mufti apakah keadaan ini.

“Kerana ada pelobi-pelobi dari gerakan Palestin yang menyokong dan memberikan pandangan kepada Menteri Luar dan pejabat saya mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad (PN-Machang) yang bertanyakan pendirian kerajaan berhubung penganjuran konsert Coldplay dan semua persembahan konsert lain.

Sebelum ini, Majlis Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (MUIS) dalam kenyataan mengecam penganjuran konsert tersebut serta meminta pihak berwajib membatalkan konsert itu bagi menghormati perasaan kesedihan dan simpati terhadap saudara Islam di Palestin yang dihujani dengan bom dan bunyi letupan oleh rejim Zionis.

Author

Pilihan Editor