HomeBeritaPolis bakal panggil Mr H beri keterangan

Polis bakal panggil Mr H beri keterangan

CYBERJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil individu dikenali Mr H, susulan pendedahan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff pada Isnin.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, individu berkenaan dikenal pasti berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Mohammad Agus.

Dalam pada itu, Razarudin menggesa pegawai J-Kom, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani segera tampil membantu siasatan ini.

“Setakat ini tiada sebarang laporan polis dibuat oleh Abdul Wahab berkaitan ancaman keselamatan ke atas dirinya.

“Ada beberapa individu lagi akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan itu,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, berhubung laporan dibuat Mohammad Agus mengenai kebocoran laporan polis yang dibuatnya.

“Kita (polis) juga jalankan siasatan berhubung perkara itu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan, bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff memaklumkan sudah mendedahkan identiti Mr H kepada pihak polis.

Mohammad Agus berkata, beliau juga membuat satu lagi laporan polis berhubung penularan laporan dibuatnya sebelum ini berkaitan video perbualan lucah miripnya dengan seorang kakitangan J-KOM.

“Saya sudah berjumpa dengan pegawai penyiasat dan selesai diambil keterangan. Saya juga sudah mendedahkan siapa Mr H untuk siasatan pihak polis,” katanya.

Author

Pilihan Editor