BUKANLAH suatu hal yang mudah untuk kekal sihat di usia tua lebih-lebih lagi untuk mencecah usia 100 tahun ke atas.
Namun, berbeza buat seorang wanita, Halipah Hasan, 102, yang masih dikurniakan penglihatan masih jelas malah tidak mempunyai sebarang penyakit kronik.
Meskipun keadaan fizikalnya kini tidak dapat bergerak lancar berikutan terjatuh kira-kira tiga tahun lalu, Halipah masih lancar membaca al-Quran.
Ditanya mengenai petua yang diamalkannya sehingga kini, Halipah yang berasal dari Kampung Kuala Jempol, Bahau, memberitahu, sejak muda dia telah mengamalkan minum air kunyit yang dicampurkan dengan halia.
“Air kunyit itu elok, tidak la diminum setiap hari, tetapi tiga hari minum sekali, selepas itu empat hari minum sekali.
“Mula-mula ambil kunyit dan halia, kikis buang kulit, basuh dan selepas tu ambil lesung dan tumbuk. Kemudian perah airnya (kunyit dan halia) dan minum,” katanya memetik laporan Utusan pada Sabtu.
Menurut Halipah, dia sering mengamalkan bacaan ayat Kursi pada waktu malam sebelum tidur serta dalam urusan harian.
“Biasanya saya akan tidur pukul 8.30 malam dan bangun sekitar pukul 3.30 pagi. Pada usia begini, saya tidak susah hati malah bahagia sebab makan minum cukup dan juga anak (Saedah Pendek, 67) serta cucu (Norazizah Mat Ripin ,40,) menjaga saya dengan baik,” katanya.