GEORGETOWN: Mana-mana individu tidak berhak menentukan status akidah seseorang termasuk sama ada mereka kafir atau sebaliknya, tegas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Ini kerana, katanya hal berkenaan hanya boleh diputuskan pemerintah atau Mahkamah Syariah.
Beliau berkata, masyarakat perlu diberi kefahaman bahawa perbuatan mengkafirkan sesama umat Islam dilarang dengan sesiapa menuduh seorang Muslim sebagai kafir sedangkan orang dituduh bukanlah individu sedemikian maka kekufuran itu akan kembali kepada pihak yang menuduh.
“Pemikiran takfiril muslimin atau mengkafirkan sesama umat Islam adalah fenomena yang serius dan berbahaya… amat dikesalkan kerana ia kian tersebar dalam kalangan umat Islam masa kini.
“Ulama bersepakat memutuskan tiada mana-mana orang yang berhak mengkafirkan seorang Muslim meskipun didapati melakukan maksiat.
“Masyarakat perlu tahu bahawa berdasarkan hadis Nabi, seseorang yang mengucap dua kalimah syahadah maka dia tidak harus dikafirkan dan haram dicerobohi pada darah (nyawa), harta dan kehormatannya,” katanya kepada BH hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan mengenai bahaya budaya kafir-mengkafir sesama Islam yang ciri-cirinya sudah mula menusuk di negara ini.
Beliau dilaporkan berkata, jika perkara itu diizinkan terus berlaku, ia bukan saja membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam, malah akan memberi kesan kepada rakyat berbilang kaum di negara ini.
Wan Salim berpandangan, peringatan yang diberi Perdana Menteri adalah wajar dan seharusnya disokong dengan semua pihak perlu menunaikan tanggungjawab memberi kesedaran kepada masyarakat awam supaya menghindari sikap ekstrem itu.
“Pihak media mesti bekerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan dalam menyebarkan aliran pemikiran Islam sederhana (wasatiyah) di negara ini.
“Saya menasihati seluruh umat Islam supaya sentiasa merujuk kepada pihak-pihak berkuasa dalam hal-hal agama terutama yang bersangkutan dengan soal akidah,” katanya. – Berita Harian