HomeBeritaGudang kopi Aik Cheong terbakar di Melaka

Gudang kopi Aik Cheong terbakar di Melaka

MELAKA: Gudang kopi jenama tempatan, Aik Cheong musnah dalam kebakaran di Taman Teknologi Cheng, di sini pada Ahad malam.

Komander Operasi Penguasa Kanan Bomba II, Mohd Khairul Nizam Mohamad Anuar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.59 malam, sebelum ke lokasi kejadian dan tiba empat minit kemudian.

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran gudang kilang kopi tersebut melibatkan 23 anggota dengan bantuan tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT), dua jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), dua Unit Bermotor Bomba (RIM) dan dua lori tangki air dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheng, Melaka Tengah dan Tangga Batu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah gudang syarikat kopi tempatan yang berkeluasan 120 meter (m) x 60m telah terbakar hampir 90 peratus.

“Sehingga 8.40 pagi ini (Isnin), operasi memadam kebakaran masih belum tamat dan antara masalah yang dihadapi pihak bomba ialah tekanan air yang rendah, menyukarkan usaha memadam kebakaran walaupun api berjaya dikawal pada 11.05 malam tadi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Khairul Nizam berkata, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu, manakala punca kebakaran serta nilai kerugian masih dalam siasatan.

Author

Pilihan Editor