HomeBeritaPelantikan anggota baharu JKMR manifestasi Kerajaan Madani banteras rasuah

Pelantikan anggota baharu JKMR manifestasi Kerajaan Madani banteras rasuah

PETALING JAYA: Pelantikan lima anggota baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) sesi 2023-2026 merupakan manifestasi Kerajaan Madani untuk terus beriltizam dengan segala usaha untuk membanteras gejala rasuah di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau percaya ahli JKMR itu akan terus istiqamah dan beroleh hikmah untuk melaksanakan tugas memerangi gejala rasuah yang kian membarah.

“Insya-Allah, moga-moga tanggungjawab besar yang diamanahkan ini dapat digalas dengan penuh adil, tawaduk dan saksama. Pelantikan ini antara lain ternyata adalah manifestasi Kerajaan Madani untuk terus beriltizam dengan segala usaha dan kudrat untuk membanteras gejala rasuah di negara tercinta ini.

“Intiha penerimaan watikah ini, didoakan segala usaha murni kita ini mendapat keberkatan darinya. Saya percaya Ahli JKMR Sesi 2023-2026 akan terus istiqamah dan beroleh hikmah untuk melaksanakan tugas memerangi gejala yang kian membarah,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar menyampaikan watikah pelantikan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) Sesi 2023-2026 di Bangunan Parlimen hari ini.

Lima anggota baharu JKMR adalah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar), Mohd. Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar), Lo Su Fui (GRS-Tawau) dan Young Syefura Othman (PH-Bentong).

Pelantikan berkenaan selaras dengan peruntukan Seksyen 14 Akta SPRM 2009 (Akta 694).

JKMR terdiri daripada tujuh orang ahli. Dua daripadanya masih dalam tempoh lantikan iaitu Ahli Dewan Negara, Md. Nasir Hashim dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Ahli JKMR berperanan menasihati Perdana Menteri mengenai pelbagai aspek masalah rasuah dalam negara dan memeriksa Laporan Tahunan SPRM.

Selain itu, JKMR juga dikehendaki memeriksa ulasan oleh Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) mengenai perjalanan oleh suruhanjaya ini akan fungsi di bawah Akta SPRM 2009 dan mendapatkan penjelasan mengenai Laporan Tahunan SPRM serta ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR). – Utusan

Authors

Pilihan Editor