SUNGAI PETANI: Bunyi kuat akibat kebakaran membabitkan tiga gudang dipercayai menjalankan operasi memproses aloi kepada aluminium yang diambil daripada barangan elektronik terpakai di Bukit Selambau sehingga menyebabkan letupan bunga api di sini, kelmarin, mengejutkan penduduk beberapa kampung yang menyangka ia adalah pesawat yang terhempas di kawasan berhampiran.
Penduduk Kampung Baru Bukit Selambau, Norehan Hassan, 45, berkata, dia yang sedang makan ketika itu, pada mulanya menyangka bunyi kuat yang kedengaran adalah kapal terbang yang terbang rendah di atas bumbung rumah sebelum meletup dan terbakar.
Susulan itu, katanya, dia yang ketakutan kemudian berlari menyelamatkan diri kerana tidak tahu apa yang berlaku.
“Saya mendengar bunyi sangat kuat dan menyangka ia akibat kapal terbang terhempas. Dalam ketakutan kerana tidak tahu apa yang berlaku, kami berlari keluar rumah dan apabila di luar, saya nampak api marak menjulang tinggi membakar gudang berhampiran sehingga melepasi pokok mangga.
“Kebakaran gudang itu sangat besar hingga nampak percikan bunga api,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, gudang yang menyimpan logam, wayar dan tembaga itu dipercayai menjalankan operasi memproses aloi kepada aluminium yang diambil daripada barangan elektronik terpakai.
Kebakaran membabitkan 100 peratus kawasan gudang itu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.
Norehan berkata, dia yang ketakutan melihat kebakaran tidak terkawal itu terus menghubungi pasukan bomba bagi memaklumkan kejadian itu.
Seorang lagi penduduk di Perumahan Awam Bukit Selambau, Shariza Mohd Sharif, 46, berkata dia juga menyangka bunyi kuat itu seolah-olah seperti kapal terbang ingin mendarat cemas.
“Kami semua kebingungan dan berlari menyelamatkan diri kerana menyangka kapal terbang terhempas,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Penghulu Tua, Normah Che Noor, 60, pula berkata, bunyi letupan kuat yang didengarinya itu disangka latihan tembakan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) memandangkan kedudukan pusat latihan pasukan itu terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Selepas terdengar beberapa kali letupan dan percikan bunga api, saya bertanyakan perkara itu kepada suami mengapa latihan RELA masih tidak habis sedangkan sudah malam.
“Ketika keluar rumah untuk ke Kuala Ketil, kami meninjau keadaan sebenar dan melihat asap tebal hitam serta bahang panas, diikuti percikan bunga api seolah-olah seperti pertunjukan daripada gudang yang terbakar,” katanya.
Rakannya, Rosnani Shaari, 54, berkata, kebakaran itu disedari pada jam 7.40 malam yang berlarutan hingga tengah malam dan operasi pemadaman masih berjalan hingga kini (4.30 petang). – Berita Harian