KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Sulaiman Abdullah meninggal dunia petang semalam, pada usia 77 tahun.
Anak lelaki Allahyarham, Huzir Sulaiman menyampaikan berita berkenaan, memaklumkan bapanya menghadapi beberapa masalah kesihatan, tetapi fikirannya tetap tajam dan cerdas, malah terus mewakili anak guam dan berkhidmat dalam pelbagai jawatankuasa serta panel penasihat.
Jenazah peguam tersohor itu yang dilahirkan pada Julai 1946, dijadual dibawa ke Masjid Jamek Sultan Abdul Aziz di Jalan Templer, Petaling Jaya untuk pengebumian tengah hari ini.
Sebagai peguam, Allahyarham banyak terbabit dalam pelbagai kes besar, termasuk mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga dilantik oleh bekas Peguam Negara, Tommy Thomas pada 2018 sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkait penyelewengan RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Pada 2009, Allahyarham mewakili Datuk Seri Nizar Jamaluddin yang menuntut semula jawatan Menteri Besar Perak dalam apa yang dirujuk sebagai krisis perlembagaan di negeri berkenaan.
Sulaiman mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan (SK) Wellesley dan SK Francis Light sebelum pendidikan menengah di Penang Free School, semua di Pulau Pinang.
Allahyarham adalah lulusan ijazah undang-undang dari University of Singapore atau kini dikenali sebagai National University of Singapore pada 1969 dan memulakan kerjaya dalam bidang guaman pada tahun sama.
Beliau juga pemegang ijazah sarjana undang-undang dari University of London pada 1979, diploma undang-undang syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) pada 1992 serta pernah berkhidmat sebagai pensyarah undang-undang di Universiti Malaya (UM) pada 1973 hingga 1984.
Berpengalaman luas dalam undang-undang jenayah, termasuk jenayah kolar putih, Sulaiman sering dilantik oleh pihak berkuasa agama Islam negeri dan Persekutuan dalam kes berprofil tinggi, antaranya mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dalam kes Lina Joy menukar agama Islam kepada Kristian.
Allahyarham yang pernah menjadi setiausaha Badan Peguam Malaysia (1993-1995) dan juga Presiden Majlis Peguam (2000-2001), kehilangan isteri yang juga bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Allahyarhamah Mehrun Siraj yang meninggal dunia pada Jun 2021. – Berita Harian