CYBERJAYA: Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang melakukan khianat dengan membakar sebuah kedai rokok elektronik (vape) di Taman Ria Port Dickson, Negeri Sembilan, Isnin lalu.
Rakaman kejadian membabitkan individu dipercayai terdiri daripada empat orang bertopi keledar yang memasuki premis sebelum membakar premis itu kini tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supritendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mengesan dua rakaman video berdurasi 1 minit 18 saat dan 15 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @anthraxxx781, menunjukkan sekumpulan individu membakar sebuah kedai vape.
Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada Isnin kira-kira jam 9.50 malam di sebuah lot kedai di Taman Ria.
“Berikutan kejadian tersebut, kedai vape telah terbakar di bahagian dalam dan api telah berjaya dipadamkan oleh pihak bomba,” katanya menerusi kenyataan.
Aidi Sham berkata, polis sedang giat menjalankan risikan dalam usaha mengesan suspek terlibat.
Beliau berkata, jumlah kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan bernilai kira-kira RM50,000.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan suspek boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes Inspektor Mohamad Danial Abd Rohim di talian (013-2226085).
Mereka juga boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Port Dickson (06-6462999) atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.