HomeBeritaTambang percuma pengangkutan awam semua golongan OKU

Tambang percuma pengangkutan awam semua golongan OKU

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi tambang percuma kepada pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bermula 1 Februari 2024.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, tambang percuma itu termasuk semua perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), monorel dan bas di Lembah Klang.

Katanya, tambang percuma itu adalah penambahbaikan berbanding pas konsesi sebelum ini yang menawarkan diskaun 50 peratus ke atas tambang perjalanan untuk penumpang OKU.

“Penambahbaikan yang kita laksana sentiasa mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh termasuk Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Mekanisme pelaksanaan tambang percuma untuk warga OKU, seperti kelayakan, terma dan syarat ini akan diumumkan oleh Prasarana dalam masa terdekat.

“Ini satu inisiatif penting walaupun ada implikasi kewangan kepada pihak prasarana kerana hasil (kutipan tiket) berkurang. Namun, saya minta supaya Prasarana bersetuju dengan inisiatif ini sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya dalam ucapan perasmian Projek Perintis Koc Wanita MRT laluan Kajang di Stesen MRT, Bandar Tun Hussein Onn, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Dalam pada itu, katanya, RapidKL and RapidPenang juga menyediakan perkhidmatan van khusus untuk penumpang OKU yang dikenali sebagai Rapid Mobility.

Jelasnya, van itu dipasang dengan lif hidraulik untuk membolehkan penumpang dalam kerusi roda menaiki kenderaan dengan mudah.

“Walaupun tidak mendapat perhatian orang awam, tetapi perkhidmatan ini menerima sambutan yang baik dalam kalangan penumpang OKU. Kerajaan sedang mempertimbang untuk memperluas perkhidmatan sedemikian kepada bandar-bandar lain,” katanya.

KOC WANITA 

Mengulas berkenaan koc wanita MRT yang dirasmikan tadi, beliau sedar bahawa maklum balas tentang koc wanita dalam kalangan penumpang lelaki adalah bercampur-campur.

Bagaimanapun, beliau pada masa sama tidak berkompromi tentang keselamatan wanita melibatkan gangguan seksual di dalam tren tanpa ada ruang khusus untuk golongan itu.

Katanya, sejak pelaksanaan koc wanita di MRT laluan Kajang pada 18 Disember lalu, aduan berkenaan gangguan seksual telah menunjukkan trend penurunan iaitu lapan kes pada suku pertama, 11 (suku kedua) dan lapan pada suku ketiga manakala jumlah aduan seksual setakat November lalu adalah tiga.

Katanya, Prasarana sedang berbincang dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk memperkemas peraturan dan undang-undang supaya penguatkuasaan boleh dipermudah terutama terhadap penceroboh koc wanita yang degil.

“Projek ini bukanlah baharu di negara kita ataupun di peringkat antarabangsa. Sesetengah laluan keretapi di Tokyo, Jakarta dan Dubai telahpun melaksanakan koc Wanita. Di Malaysia, pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah memulakan inisiatif ini sejak tahun 2010.  Hasil daripada inisiatif ini terbukti berjaya menurunkan bilangan kes gangguan terhadap wanita,” katanya.

NAIK TARAF FASILITI 

Dalam sidang akhbar berasingan, kata Siew Fook, Prasarana dalam proses menaik taraf fasiliti pintu automatik di semua stesen monorel supaya lebih mesra pengguna terutama keselamatan golongan OKU.

Katanya, pihaknya sudah melantik kontraktor untuk kerja-kerja naik taraf pintu di platform Monorel yang memisahkan platform dengan koc monorel.

“Masalah berpunca daripada sistem pintu platform tidak dapat diintegrasikan dengan sistem rel monorel. Ini kerana kontraktor asal yang memasang sistem itu tidak lagi beroperasi dan ini menambah kesulitan permasalahan pintu yang tidak dapat ditutup,” katanya.

TAYAR TERBAKAR 

Ditanya mengenai kejadian tayar monorel terbakar sebelum terjatuh berdekatan Stesen Monorel Titiwangsa, Jalan Tun Razak Selasa lepas, beliau berkata, kejadian itu dilaporkan kepada kementerian dan pihak Prasarana sedang membuat siasatan.

“Ada berlaku kejadian kebakaran tayar tetapi tidak membabitkan sebarang kecederaan dan tidak memberikan kesan kepada operasi pada hari itu. Bagaimanapun, kami memandang serius insiden ini dan punca kejadian perlu diselidik. Prasarana perlu memberi laporan lengkap kepada kementerian dan kepada APAD,” katanya. – Utusan

Author

Pilihan Editor