SIBU: Sebanyak 83 rangka manusia ditemukan di dalam sebuah longkang di kawasan perumahan Jalan Bukit Assek, di sini.
Ia susulan penemuan satu tengkorak manusia oleh pekerja kontraktor Majlis Perbandaran Sibu (MPS) semasa menjalankan kerja pembersihan di longkang berkenaan pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, penemuan 83 rangka manusia itu dibuat pasukan polis bersama-sama doktor pakar forensik Hospital Sibu semasa menjalankan pencarian semula bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang semalam.
“Pasukan pencarian menjumpai sebanyak 83 serpihan tulang dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkipli berkata, sampel DNA daripada tulang akan dihantar ke Unit Forensik Jabatan Kimia untuk mengenal pasti identitinya.
“Setakat ini, identiti belum lagi dapat dikenal pasti.
“Kita akan membuat permohonan ujian DNA di Jabatan Kimia dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, proses mengenal pasti identiti rangka itu mengambil masa kerana sampel DNA perlu diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.
Justeru, beliau menggesa orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung perkara itu agar tampil ke Balai Polis Sentral Sibu bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, rangka itu terdiri daripada tulang kaki, tangan, kepala dan badan. – Harian Metro