HomeBeritaWarga Bangladesh jalan kaki beramai-ramai ditahan di Kota Tinggi

Warga Bangladesh jalan kaki beramai-ramai ditahan di Kota Tinggi

KOTA TINGGI: Seramai 171 lelaki warga Bangladesh yang berjalan kaki secara beramai-ramai di kawasan Bayu Damai, Teluk Ramunia di sini, hingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan penduduk tempatan pada Rabu lepas, sudah pun ditahan.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), pada hari sama.

Beliau berkata, pihak ATM sudah menahan kesemua lelaki terbabit dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Menurut Hussin, siasatan awal mendapati, warga asing yang memiliki dokumen pengenalan diri sah itu berjalan kaki menuju ke Balai Polis Bayu Damai, kira-kira 10 kilometer dari asrama mereka bagi membuat laporan, berikutan mendakwa tidak mendapat tawaran kerja daripada ejen dalam tempoh tiga hingga enam bulan lepas.

Kesemua mereka ditahan ketika sedang berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk Bayu Damai, Teluk Ramunia.

“Difahamkan, ejen berkenaan masih belum memperoleh pekerjaan yang sesuai untuk mereka dengan kehendak majikan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Hussin berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 19 hingga 43 tahun itu dibawa ke Jabatan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Sejak Ahad lalu, tular video memaparkan sekumpulan besar warga asing sedang berjalan secara beramai-ramai di tepi sebuah jalan raya sehingga menimbulkan kegusaran orang awam.

Ia selepas tulisan dalam klip tersebut membangkitkan kerisauan berhubung tahap keselamatan penduduk sekitar susulan kehadiran golongan tersebut.

Author

Pilihan Editor