CYBERJAYA: Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa siasatan segera dilakukan terhadap sindiket yang bertanggungjawab membawa 171 warga Bangladesh ke Malaysia untuk pekerjaan yang tidak wujud.
Menyifatkan perkara itu sebagai ‘hanya sebahagian kecil daripada isu yang sebenarnya’, Azalina berkata, syarikat terbabit perlu dikenakan tindakan, manakala siasatan perlu dilakukan untuk mengenal pasti bagaimana pekerja yang memiliki dokumen sah dieksploitasi dengan janji palsu untuk bekerja di negara ini.
“Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan. Tiada toleransi terhadap pelanggaran hak asasi manusia termasuk di sektor perniagaan. Ini adalah masanya untuk mengambil tindakan terhadap perniagaan terbabit,” tulisnya menerusi laman X pada Selasa.
Pada Isnin, polis menahan seramai 171 pekerja Bangladesh yang berjalan dalam barisan di jalan raya di Pengerang, Johor selepas penularan video berhubung perkara itu sejak Ahad.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada Rabu lalu.
Katanya, pekerja asing itu difahamkan menuju ke Balai Polis Bayu Damai bagi membuat laporan polis, berikutan ditipu ejen pekerjaan yang tidak memberi pekerjaan.
Mengulas lanjut, Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) turut menyatakan penghargaan kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim kerana membantu pekerja asing tersebut.
“Sebagai Ahli Parlimen Pengerang, saya telah menghubungi YB Steven Sim kerana saya diberitahu bahawa kira-kira 2,500 daripada pendatang yang ditipu ini berada di Pengerang.
“Individu di sebalik sindiket ini mesti bertanggungjawab dan siasatan segera mesti dijalankan ke atas siapa yang mengeluarkan permit ini tanpa pekerjaan,” tambahnya.
Sementara itu, Sim dilapor berkata, meskipun kes itu di luar bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia, pihaknya membantu pekerja Bangladesh tersebut atas dasar kemanusiaan.
Katanya, kementerian akan memanggil majikan yang tertera dalam dokumen pekerja asing itu dan ejen terbabit dalam minggu ini untuk membantu siasatan.
Beliau juga merancang untuk bertemu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk membincangkan dan menambah baik dasar berkaitan pengambilan pekerja asing.