PETALING JAYA: Usahawan dan pempengaruh media sosial, Vivy Yusof mencuri tumpuan pengguna media sosial setelah memberikan cuti rehat sebanyak tujuh hari kepada pekerjanya.
Menurut hantaran Vivy di laman Facebook miliknya, pemberian cuti tersebut adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih syarikat kepada semua pekerjanya.
“Tahun ini, kita telah melalui pelbagai perubahan yang besar. Oleh itu, saya rasa kita semua perlukan cuti rehat yang panjang.
“Ambil masa ini untuk diluangkan bersama keluarga dan rakan-rakan. Saya berharap, semua akan lebih ceria dan bertenaga pada 2024 nanti,” katanya dalam sebuah hantaran di Instagram.
Meninjau ke ruangan komen, netizen kebanyakannya menyokong tindakan Vivy. Malah, ada juga yang berseloroh ingin bekerja di syarikat milik Vivy pada masa akan datang.
“Ada kerja kosong ke? Nak lari kerja di dUck lah lepas ni,” kata Amy.
“Besar pahala boss. Mesti ramai akan gunakan masa ini untuk luangkan masa dengan anak-anak dan keluarga sempena cuti sekolah,” kata Ainaa.
“Seronoknya dapat e-mel macam ni, boss terbaik!,” kata Eyda. – Kosmo