KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan mengemukakan bantahan terhadap langkah Badan Peguam Malaysia (Badan Peguam) yang memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes Yayasan Akalbudi terhadapnya.
Pada prosiding 4 September lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang memaklumkan, Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadapnya.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk didakwa dengan 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Ahmad Zahid, ketika dihubungi pemberita hari ini, berkata pihaknya akan memfailkan afidavit dan hujahan bagi membantah permohonan berkenaan sebelum 11 Januari depan.
Katanya, pada tarikh itu, Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Badan Peguam bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman berkenaan.
Melalui permohonan difailkan pada 2 Disember lalu, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara dan Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA), dibatalkan.
Badan Peguam turut memohon perisytiharan bahawa keputusan Peguam Negara itu adalah batal dan tidak sah serta dibuat melebihi bidang kuasa dan kuasa yang diberikan kepada responden pertama mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Turut dipohon satu perisytiharan bahawa keputusan itu tidak munasabah, tercemar dengan tidak rasional.
Berikutan itu, Badan Peguam selaku pemohon tunggal, memohon perintah mandamus daripada mahkamah untuk mengarahkan Peguam Negara bertindak mengikut undang-undang – dan jika menganggap sesuai dan wajar – untuk bertindak mengikut Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah dengan mendakwa semula Ahmad Zahid.
Sebagai alternatif, Badan Peguam memohon perintah untuk mengarahkan Peguam Negara membekalkannya dengan maklumat, dokumentasi, sebab, asas dan butir-butir yang ia bergantung untuk mencapai keputusan bagi memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid.
Badan Peguam memberikan alasan dalam permohonannya, bahawa Peguam Negara bertindak secara ultra vires (bertentangan) bidang kuasa ketika memohon DNAA dan keputusan itu juga tidak munasabah dan tidak rasional. – Berita Harian