HomeBeritaKlinik diboikot, doktor tampil mohon maaf kepada UAI

Klinik diboikot, doktor tampil mohon maaf kepada UAI

CYBERJAYA: Seorang doktor di Terengganu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Ustaz Azhar Idrus (UAI) susulan dirinya memuat naik beberapa hantaran yang menuduh penceramah itu tidak memiliki sebarang tauliah mengajar.

Dr Ahmad Najmee Mohd. Nor menerusi perkongsian di Facebook memaklumkan, dia telah bertemu dengan wakil keluarga UAI, Mazuman di kliniknya, semalam.

“Dengan segala rendah hati saya memohon maaf atas keterlanjuran kata dan tuduhan kurang cermat terhadap Ustaz Azhar Idrus yang memberi impak besar kepada banyak pihak.

“Keterlanjuran kata ini adalah hasil dari kelemahan diri saya sendiri yang terlalu emosi akibat terpengaruh dengan provokasi di media sosial. Permohonan maaf secara peribadi berbentuk video juga diajukan kepada UAI,” tulisnya pada Khamis.

Pada masa sama, Dr Ahmad Najmee turut mengatakan bahawa dia giat berusaha untuk bertemu dengan UAI dalam masa terdekat.

“Saya reda dengan segala cercaan dan makian atas keterlanjuran kata-kata saya. Saya tidak dapat mengharapkan kalian semua memaafkan saya tetapi saya mohon sedikit ihsan supaya memberi saya peluang kedua.

“Pertemuan dengan Mazuwan semalam telah membuka hati saya tentang keikhlasan UAI menyampaikan ilmu agama kepada semua dan tidak hairan kenapa UAI menjadi kesayangan kepada pecinta ilmu agama,” ungkapnya.

Malah, Dr Ahmad Najmee turut akur dengan cabaran yang dialaminya serta mengambil iktibar daripada kejadian tersebut supaya lebih menjaga kata-kata kepada golongan ilmuan agama.

“Saya anggap segala apa yang saya hadapi ketika ini adalah kaffarah kepada dosa-dosa saya kerana tidak menghormati ilmuan agama. Doakan agar saya dikurniakan taufiq dan hidayah.

“Kepada semua, tiada apa dapat saya lakukan untuk meredakan kemarahan kalian. Cuma saya mohon supaya diri saya, keluarga dan kakitangan klinik tidak dikasari atau dicederakan,” katanya.

Sebelum ini, Dr Ahmad Najmee dikecam teruk sehingga ada pihak yang mengugut untuk memboikot kliniknya gara-gara menuduh UAI tidak mempunyai kelulusan dan tauliah untuk mengajar.

Author

Pilihan Editor