HomeBeritaSuhu dunia meningkat, paras air laut naik, banjir lebih buruk - Penganalisis

Suhu dunia meningkat, paras air laut naik, banjir lebih buruk – Penganalisis

 

KUALA LUMPUR: Data menunjukkan, peningkatan suhu dunia secara berterusan boleh menjurus kepada peningkatan paras air laut.

Sekiranya tidak ada tindakan pemulihan segera, menurut Prof Dr Fredolin T Tangang, ia akan menyebabkan banjir yang lebih buruk pada masa akan datang.

“Data menunjukkan suhu laut meningkat, dan peningkatan ini meningkatkan aras laut. Walaupun tidak banyak, kita jangka ia meningkat secara perlahan.

“Jika perubahan iklim disebabkan oleh tangan-tangan manusia ini tidak dapat ditangani oleh dunia dan pemanasan berterusan, maka pada hujung abad ke-21, menurut laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC), secara purata di Malaysia aras laut akan meningkat antara 0.6 dan 0.7 meter,” katanya.

Beliau yang merupakan Felo Akademi Sains Malaysia dan bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja 1 IPCC berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Khamis.

Jelasnya, antara fenomena yang dijangka berlaku sekiranya peningkatan paras air laut ini tidak ditangani adalah banjir di kawasan yang tidak pernah berlaku banjir sebelumnya.

Bahkan, Fredolin menyatakan kebimbangan, banjir akan bertambah buruk jika mengambil kira berlakunya hujan lebat dan air pasang besar. – Awani

Author

Pilihan Editor