HomeBeritaBanteras warga asing: Lebih 10 kawasan PATI dikenal pasti

Banteras warga asing: Lebih 10 kawasan PATI dikenal pasti

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti lebih 10 kawasan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara bagi membanteras isu kebanjiran warga asing.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lokasi itu bukan sahaja di Lembah Klang namun di beberapa negeri lain termasuk Johor, Kedah dan Kelantan.

Bagaimanapun kata beliau, lokasi-lokasi itu tidak akan didedahkan bagi memastikan tiada sebarang kebocoran maklumat sebelum operasi.

“Banyak operasi sebelum ini yang kita buat melibatkan penempatan PATI, kebocoran maklumat berlaku. Bila datang, sudah kosong.

“Kita sudah kenal pasti sasaran lokasi, saya akan kongsi dengan media pada saat saat terakhir kita akan kongsikan, takut ada kebocoran nanti,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, pihaknya akan terus melancarkan operasi bersepadu dari semasa ke semasa secara konsisten.

Namun, katanya, terdapat beberapa kekangan dari segi penempatan tahanan di depot imigresen.

“Mungkin ada kekangan di situ namun kita akan terus merancang dengan teliti. Kalau kita tengok operasi lepas di Jalan Silang, siasatan pada perniagaan yang dikuasai warga asing itu target kita.

“Seramai 1,101 kita tahan di sana pada 21 Disember lalu dan buat semakan dokumen, lebih 600 kita sudah ambil tindakan,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, polis daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi bersepadu menggempur mini Dhaka di Jalan Silang di sini bag membanteras isu kebanjiran warga asing di ibu negara.

Dalam operasi itu, sebanyak 60 premis perniagaan turut diserbu dipercayai menggaji warga asing.

Operasi bermula 11 pagi itu disertai oleh seramai 1,138 pegawai dan anggota dari Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) melibatkan Bridged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Unit Anjing Pengesan (K9).

Turut terlibat beberapa agensi antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen (JIM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. – Utusan

Author

Pilihan Editor