MESKIPUN terdapat kemudahan pam angin di setiap stesen minyak namun, masih terdapat segelintir pengguna kenderaan masih belum arif dengan penggunaan yang betul untuk mengepam tayar mereka.
Walaupun mengisi angin tayar pada kenderaan, kedengaran agak mudah untuk dilakukan namun tidak ramai yang berani mencubanya.
Hal ini kerana, fikiran ‘paranoid’ yang wujud menimbulkan rasa takut. Mungkin dengan perkongsian tips isi angin tayar yang dikongsikan oleh Petronas Sri Hartamas boleh membantu anda.
Sebelum itu, anda perlu tahu maksud beberapa butang yang ada pada meter pam angin.
- Simbol + bermaksud menaikkan jumlah isian angin.
- Simbol – bermaksud mengurangkan isian bacaan pada meter pam angin.
- Simbol bunga tayar digunakan untuk tayar pancit.
Sekiranya tayar kereta anda pancit, dinasihatkan untuk tekan pressure pada butang bunga tayar terlebih dahulu sebelum letak kepala pam pada tayar.
Cara isi angin tayar pada kereta
- Periksa jumlah kPa (kilopascal) tekanan tayar kereta terlebih dahulu.
- Buka pintu kereta di bahagian pemandu dan ada boleh lihat di bahagian kawasan pintu terdapat pelekat mengenai tire pressure. Seperti di paparan video, tekanan tayar depan adalah 230 kPa manakala tayar belakang 200 kPa.
- Kemudian, pergi ke meter pam angin dan tetapkan kPa tayar.
- Letak kepala pam pada tayar dan tunggu sehingga keluar bunyi seakan brek lori yang menandakan jumlah isian angin telah dicapai.
Cara isi angin tayar pada motorsikal
- Mula-mula anda kena baca maksimum berat tayar. Seperti di paparan video, maksimum berat tayar belakang pada motosikal tersebut adalah 160 kg 230 kPa.
- Kemudian, pergi ke meter pam angin dan tidak perlu set angin pada tahap maksimum yang diberi. Hanya perlu kurangkan dalam 30 kPa daripada jumlah 230 kPa tadi untuk tayar belakang. Maka, jumlah kPa adalah 200 sahaja.
- Manakala, tayar depan motosikal dikurangkan sebanyak 40 kPa iaitu 190 kPa.
- Pengurangan perbezaan kPa mengikut tayar ini disebabkan, tanggungan beban pada tayar belakang lebih berat daripada tayar di bahagian depan.
Sekiranya, anda masih keliru, boleh sahaja dapatkan bantuan daripada pekerja di pam minyak berkenaan untuk mengisi angin tayar kenderaan anda.