HomeBeritaPolitikNafi wujud 'Langkah Dubai', GPS tiada masa layan drama politik

Nafi wujud ‘Langkah Dubai’, GPS tiada masa layan drama politik

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menafikan kewujudan ‘Langkah Dubai’ serta mengulangi pendirian bahawa Ahli Parlimen parti itu menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof mengakui bahawa, beliau tidak pernah dengar mengenai cubaan menggulingkan kerajaan semasa.

Malah, katanya, Ahli Parlimen GPS ‘tiada masa melayan drama politik’ kerana memberi fokus terhadap ekonomi negara.

“Saya tidak tahu. Apa yang pasti ialah GPS berulang kali mengulangi keutamaan kami ialah mempunyai kerajaan stabil dan kukuh.

“Kami mahu fokus semua usaha atas pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya seperti dilapor Borneo Post.

Spekulasi ‘Langkah Dubai’ timbul susulan perbincangan pemimpin pembangkang dan wakil tertentu kerajaan, ketika lawatan mereka ke ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ‘ejen’, untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Selain itu, timbul juga dakwaan bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditawarkan jawatan Perdana Menteri dan autonomi tambahan, termasuk sehingga 20 peratus royalti minyak untuk Sarawak.

Seorang lagi Ahli Parlimen GPS, Datuk Seri Nancy Shukri turut menyangkal dakwaan beliau dan wakil rakyat PBB lain memberi sokongan kepada ‘Langkah Dubai’.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, beliau tidak pernah dengar mengenai ‘Langkah Dubai’.

Author

Pilihan Editor