HomeBeritaPolitik‘Anggap PAS ekstremis, kaitkan dengan Taliban satu kesilapan’

‘Anggap PAS ekstremis, kaitkan dengan Taliban satu kesilapan’

CYBERJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menepis dakwaan segelintir pihak, yang menganggap PAS sebagai sebuah parti ekstremis lalu menyamakannya dengan parti Islam lain di dunia.

Menganggap kenyataan tersebut sebagai satu kesilapan, Menteri Besar Terengganu itu berkata, PAS sebaliknya sentiasa memahami struktur masyarakat yang terdiri daripada kepelbagaian etnik serta agama dalam negara.

Malah, tegas beliau, PAS ketika ini merupakan parti yang sudah relevan serta boleh diterima oleh masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ada yang beranggapan, PAS sebuah parti yang tidak mempunyai ramai golongan teknokrat. Sebenarnya dalam PAS, kita mempunyai ramai ahli yang datang dari pelbagai bidang dan latar belakang.

“Namun, kebanyakan daripada mereka tidak menonjol ke depan, sebaliknya amat berperanan di belakang tabir dan terlibat dalam menyusun atur strategi untuk PAS terus bergerak ke hadapan.

“Saya merupakan seorang yang pernah menjadi sebahagian daripada mereka sebelum diketengahkan sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2018,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata demikian susulan terdapat segelintir pihak yang cuba mengaitkan PAS dengan Taliban.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PAS mempunyai potensi untuk menjadi sebuah parti Islam yang moden, manakala tindakan menyamakan parti itu dengan Taliban merupakan satu kesilapan.

Tambahnya, PAS kini bukan lagi ‘parti kampung’, sebaliknya ia lebih daripada hanya sekadar parti.

“Kami sudah berada sejauh ini dan akan terus bergerak ke hadapan. Kami amat memahami, untuk menjadikan negara kita negara yang terbaik, kita semua perlu bekerjasama sebagai warganegara Malaysia.

“PAS juga bukanlah sebuah parti yang sempurna, tetapi kami mempunyai ahli dan penyokong yang terdiri dari pelbagai latar belakang yang mendokong,” katanya.

Author

Pilihan Editor