HomeBeritaMahkamah & JenayahSindiket 'jus dadah' tumpas, enam suspek ditahan

Sindiket ‘jus dadah’ tumpas, enam suspek ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket mencampurkan lima jenis dadah dalam jus minuman sebelum dijual kepada pengunjung pusat hiburan dan parti persendirian di sekitar Lembah Klang.

Kegiatan itu terbongkar menerusi lima serbuan dan tangkapan di sekitar Cheras dan Kajang pada Selasa serta Rabu lalu, termasuk di dua kondominium mewah yang dipercayai menjadi tempat memproses dan menyimpan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, enam suspek termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 40 tahun serta dalang utama sindiket berusia 39 tahun ditahan dalam serbuan itu.

Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah dianggar bernilai RM448,850 membabitkan 55.44 liter jus disyaki dadah, 1.68 kilogram (kg) serbuk methylenedioxymethamphetamine (MDMA), 144 gram (g) ketamin, 16g ganja, lima kg serbuk ekstasi, 550 pil Erimin 5 serta 2,900 biji pil ekstasi.

“Sindiket dipercayai terbabit dengan aktiviti memproses dan mengedar dadah di pusat hiburan serta penganjur parti persendirian di sekitar Lembah Klang.

“Bekalan dadah disimpan di dua kondominium dan diproses menjadi serbuk yang kemudian dicampur ke dalam jus minuman mengikut permintaan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini, hari ini.

Kamarudin berkata, siasatan mendapati serbuk dan jus dadah dijual dengan RM180 hingga RM300, bergantung kepada saiz botol minuman, kuantiti dan kandungan dadah.

“Sindiket ini aktif sejak pertengahan tahun lalu dan mengaut keuntungan lumayan kerana mampu menggaji pekerja dengan upah RM30,000 sebulan.

“Kita masih menyiasat punca bekalan dadah diperoleh dan serta mengesan rangkaian serta ahli sindiket yang lain,” katanya.

Kamarudin berkata, pihaknya turut menyita pelbagai aset termasuk tiga kenderaan, wang tunai serta barang kemas dan jam mewah dengan nilai sitaan dianggar RM489,408.

Tindakan sita diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM938,258.

“Ujian saringan air kencing ke atas semua mendapati empat daripadanya positif dadah jenis ketamin dan seorang suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Semua suspek direman tujuh hari bermula 17 Januari hingga 23 Januari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, dadah yang dirampas dianggar boleh digunakan oleh 27,000 penagih dadah. – Berita Harian

Authors

Pilihan Editor