CYBERJAYA: Bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) telah dinaikkan sehingga RM500 kepada isi rumah berbanding bayaran maksimum sebanyak RM300 pada tahun lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, bayaran STR Fasa 1 akan dikreditkan mulai Isnin manakala penerima yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima bayaran berkenaan melalui akaun bank mereka.
Malah, bayaran itu juga akan disalurkan secara tunai, melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan bagi Fasa 1 telah bertambah sebanyak 26 peratus kepada RM2.1 bilion berbanding RM1.67 bilion pada tahun lalu, dalam usaha untuk membantu sebilangan besar rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.
“Setiap kali saya ketemu rakyat, perihal utama diutarakan adalah beban kos sara hidup yang kian meningkat lebih deras daripada pendapatan.
“Saya akur akan keperitan ini, justeru kerajaan giat berusaha untuk memastikan bantuan dapat dipertingkat dengan lebih ketara, agar masalah asas ini dapat dileraikan dan tiada rakyat di belakang di bawah pentadbiran kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, selaras dengan pendekatan ekonomi Madani untuk ‘meninggikan lantai’ dari segi kualiti hidup rakyat, kerajaan akan mengutamakan dan memastikan isi rumah berpendapatan rendah terus diberi bantuan sewajarnya.
“Kerajaan Madani sentiasa peka kepada keluhan rakyat dan akan terus menambah baik STR dalam usaha membantu rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya.
Setakat ini, seramai 8.2 juta individu yang layak sudah pun berdaftar untuk STR 2024.
Namun, angka itu dijangka meningkat kepada hampir sembilan juta bagi tahun ini mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini dibuka sepanjang tahun, berbanding setahun sekali sebelum ini.
Katanya, sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan, bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
Semakan status kelayakan STR dan soalan lazim (FAQ) boleh didapati di Portal Rasmi STR, melalui pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my atau https://manfaat.mof.gov.my/.
Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi merujuk informasi mengenai program STR.