CYBERJAYA: Teknologi kecerdasan buatan (AI) antara lima sektor utama yang menjadi fokus Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) pada tahun ini.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, Mosti akan melancarkan rangka kerja untuk penggunaan AI secara etika dalam beberapa minggu akan datang.
Pada masa sama, beliau berkata, Mosti akan mengadakan kerjasama dengan beberapa agensi, kementerian dan pemain-pemain industri dalam penyediaan program upskilling berkaitan AI kepada tenaga kerja tempatan.
“Ini bukan sahaja menjadi fokus Mosti tetapi turut menjadi tumpuan dan nasional, yang mana Perdana Menteri sudah pun sebut berkali-kali mengenai AI.
“Malah, Kementerian Ekonomi juga telah melancarkan ekonomi AI untuk rakyat baru-baru ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia (MMU) di sini pada Selasa.
Turut hadir pada majlis sama adalah Timbalan Menteri Mosti, Datuk Mohammad Yusop Apdal dan Ketua Setiausaha Mosti, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Majlis sama turut menyaksikan peluncuran Buku Meja Memacu Sains & Teknologi Bersama Malaysia Madani 2023 dan Pelan Strategik Mosti 2024-2030.
Mengulas lanjut, tumpuan lain termasuk mempelawa syarikat tempatan untuk mengemukakan Permintaan untuk Cadangan (RFP) bagi projek Pembangunan Satelit Penderiaan Jauh Malaysia mulai Rabu.
Jelasnya, projek yang diluluskan oleh Kabinet itu akan dijalankan melalui perkongsian awam-swasta dan diselia oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
“Ia dibuka selama enam bulan bagi membolehkan syarikat tempatan mempunyai masa yang mencukupi untuk mencari rakan kongsi asing bagi aspek teknologi canggih yang masih belum tersedia di negara kita.
“Ini adalah pengumuman pertama. Nanti ada submission plan dan sebagainya. Tarikh pelancaran dijangka pada 2026,” katanya.
Tambahnya, satelit penderiaan jauh baharu itu akan menjimatkan kos dan melindungi keselamatan data negara.
“Ketika ini, kami membeli kepakaran penderiaan jauh daripada syarikat asing. Kita perlu mempunyai kedaulatan ke atas ruang udara kita dan untuk menjimatkan kos,” katanya.
Selain itu, Chang berkata, Mosti sedang berusaha aktif untuk mewujudkan ekosistem teknologi hidrogen, untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi hidrogen.
Ujarnya, Teknologi Hidrogen dan Hala Tuju Ekonomi memiliki matlamat jangka pendek termasuk mengeksport tenaga hidrogen bernilai kira-kira RM20 bilion ke Korea, Jepun dan Singapura menjelang 2027.
“Kami akan bekerjasama dengan industri untuk mewujudkan Stesen Mengisi Minyak Hidrogen Mudah Alih sebagai projek perintis dan meneroka aplikasinya dalam sektor mobiliti,” katanya.
Untuk rekod, Sarawak merupakan perintis semasa negara dalam teknologi hidrogen.
Jelasnya, dua lagi sektor yang menjadi fokus Mosti adalah bioteknologi – keselamatan makanan dan perubatan ketepatan serta ekosistem permulaan.