HomeBeritaPolitikSindir keputusan pengampunan terhadap Najib, Tony Pua digesa mohon maaf

Sindir keputusan pengampunan terhadap Najib, Tony Pua digesa mohon maaf

CYBERJAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin menggesa Tony Pua membuat permohonan maaf terbuka, selepas kelantangannya menyindir keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mohd Asna berkata, tindakan bekas Ahli Parlimen Damansara itu hanya menggambarkan beliau sebagai seorang yang tidak menghormati persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan.

“Beliau juga tidak menghormati sensitiviti kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang telah berjanji untuk melupakan permusuhan dan kisah silam.

“Ini bukanlah kali pertama Tony Pua melakukan tindakan biadab ini, sebab itu perlu ada satu tindakan tegas terhadapnya dari sudut perundangan negara mahu pun dalaman parti,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohd Asna yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Seremban berkata, proses pengampunan oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya itu sudah melalui proses yang teliti tanpa penyalahgunaan kuasa atau tatakelola.

“Tindakan mempertikai keputusan itu seolah-olah telah mempersenda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan saya mendesak sekeras-kerasnya beliau menarik balik posting (hantaran) tersebut serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Jika tidak, Tony perlu dikenakan tindakan tegas kerana mempersendakan kuasa YDPA,” tegasnya.

Pada Jumaat, Tony yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP dengan nada sinis menyindir keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya berhubung pembebasan Najib.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Tony dilihat menzahirkan rasa tidak puas hatinya menerusi sebaris ayat.

“Bolehkah seseorang menghantar saya ke penjara selama setahun dan sebagai pertukaran, membayar saya RM50 juta? pretty please?” katanya.

Tangkap layar hantaran Tony di laman Facebook, berhubung keputusan pengampunan terhadap Najib.

Hantaran itu kemudian disusuli dengan beberapa sindiran lain berhubung perkara sama.

Tangkap layar hantaran susulan di laman Facebook Tony, berhubung keputusan pengampunan terhadap Najib.

Tony pernah menjadi Anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyaksikan beliau menjadi individu penting, yang mengusulkan supaya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas pemulangan aset untuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta SRC International pada tahun 2020.

Tony turut membuat sindiran dengan memuat naik gambar di laman Facebooknya.

Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya mengesahkan Najib akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Tarikh tersebut adalah enam tahun lebih awal dari tempoh hukuman sepatutnya, selain jumlah denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Lagi sindiran pedas Tony di laman Facebook, berhubung keputusan pengampunan ke atas Najib.

Menurut kenyatan yang dikeluarkan urusetia lembaga tersebut, keputusan berkenaan diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 yang bersidang pada 29 Januari lalu.

Author

Pilihan Editor