TUARAN: Seorang lelaki obes yang tidak sedarkan diri selepas dipercayai mengalami sesak nafas terpaksa diangkat dengan bantuan bomba ke hospital.
Dalam kejadian 5.55 pagi itu, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terpaksa mendapatkan bantuan bomba mengangkat lelaki seberat 160 kilogram (kg) itu keluar rumahnya untuk dihantar ke Hospital Tuaran bagi menerima rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pihak KKM pada 5.58, untuk bantuan mengangkat mangsa yang berusia 37 tahun.
Katanya, tujuh anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), lapor Harian Metro.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati seorang lelaki yang tidak sedarkan diri dan menerima rawatan bantuan kecemasan jantung dan pernafasan atau cardiopulmonary resuscitation (CPR) daripada petugas KKM.
“Pasukan bomba seterusnya membantu mengangkat mangsa menggunakan pengusung untuk dibawa menaiki ambulans ke hospital berhampiran,” katanya.
Menurutnya, operasi tamat pada 6.30 pagi.