HomeBerita25 PATI ditahan dalam serbuan di kondominium di Putrajaya

25 PATI ditahan dalam serbuan di kondominium di Putrajaya

PUTRAJAYA: Penduduk di kondominium di Putrajaya boleh menarik nafas lega setelah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melakukan operasi terhadap ratusan warga asing tanpa izin (PATI) yang berkampung di situ malam tadi.
Dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dilakukan pada jam  12 tengah malam itu, JIM menahan 25 PATI yang terdiri daripada warganegara India, Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Filipina berusia antara 25 hingga 45 tahun yang terdiri daripada 23 orang lelaki dan dua perempuan.
Operasi yang diketuai oleh Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh telah memeriksa 127 individu susulan aduan awam dan risikan mengenai pendatang tanpa izin yang disyaki tinggal di kawasan kondominium tersebut. Seramai 141 pegawai pelbagai pangkat JIM terlibat dalam operasi itu.
Semasa serbuan dan pemeriksaan terjadi terdapat warga asing yang mengambil masa yang lama untuk membuka pintu semasa pemeriksaan dilakukan. Warganegara asing menyewa seramai lebih kurang lima ke 10 orang satu rumah yang dijadikan sebagai asrama.
Mereka dipercayai bekerja di sekitar kondominium kerana terdapat beberapa premis seperti deretan kedai berhampiran kawasan tersebut.
Antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 serta ditempatkan di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Author

Pilihan Editor