HomeBeritaViralKepala 'Oyen' tersangkut di lubang dinding rumah

Kepala ‘Oyen’ tersangkut di lubang dinding rumah

GELAGAT si bulus adakala mencuit hati meskipun terkadang ‘memeningkan kepala’ penjaganya.

Baru-baru ini, seekor kucing menjadi perhatian apabila tersangkut di lubang yang ada pada dinding sebuah rumah di Lorong Rumbia 1, Sunny Garden, Kota Kinabalu, Sabah.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, kejadian itu dilaporkan berlaku pada Sabtu.

“APM Kota Kinabalu menerima panggilan kes kecemasan berkenaan Lain-Lain Kes (LLK) iaitu menyelamatkan kucing.

“Pengadu memaklumkan seekor kucing tersangkut di lubang yang ada pada dinding rumah pengadu.

“Anggota APM KK lengkap memakai PPE segera menyelamatkan kucing tersebut dengan memecahkan dinding tersebut menggunakan peralatan Kazumi Power Saw dan Paratec supaya kucing dapat dikeluarkan. Kucing berwarna putih jingga berjaya diselamatkan,” maklum APM Kota Kinabalu.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata warga net terhibur dengan keletah si bulus serta menzahirkan ucapan tahniah atas bantuan yang diberikan APM Kota Kinabalu.

“Oyen memang suka buat hal. Apa-apapun tahniah,” tulis netizen.
“Kasihan tapi comel,” komen warga net.

“Terima kasih anggota yang telah menyelamatkan makhluk Allah ini. Moga Allah berkati hidupu di dunia dan di akhirat,” ungkap warga maya.

Author

Pilihan Editor