HomeBeritaMaritim Perak tahan dua bot termasuk lapan nelayan

Maritim Perak tahan dua bot termasuk lapan nelayan

LUMUT:  Dua bot nelayan tempatan kelas B bersama lapan nelayan termasuk tekong dan kru ditahan oleh Maritim Negeri Perak sekitar jam 11.35 pagi dan 11.40 pagi, pada Isnin.

Penahanan itu dilakukan di kedudukan 6.5 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-lomba, Perak dan 6.6 batu nautika barat daya Tanjung Sungai Tiang, Perak.

Kapten Maritim, Mohamad Shukri Khotob berkata, kedua-dua bot terbabit dikesan sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan bot ronda ketika melakukan rutin operasi menerusi Op Sayong, Op Pintas dan Op Tiris di sekitar perairan negeri Perak.

Kedua-dua bot berkenaan dikendalikan oleh dua tekong warga tempatan bersama enam kru warga tempatan dan Myanmar berumur dalam lingkungan 36 hingga 67 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, warga asing tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, malah hasil serbuan turut menemukan ikan campur yang berjumlah kira-kira 400 kilogram. 

“Tiga orang kru warga Myanmar lain gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan kedua-dua bot terbabit beroperasi kurang daripada 8 batu nautika dari daratan.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana kedua-dua bot terbabit beroperasi kurang daripada 8 batu nautika dari daratan,” katanya.

Syukri turut menyatakan bahawa kesemua nelayan telah ditahan manakala bot serta hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas.

Seterusnya kesemua yang dirampas tersebut akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Orang ramai diminta untuk menghubungi Maritim Malaysia jika ada sebarang aduan dan insiden kecemasan di laut, di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau MERS 999.

Author

Pilihan Editor