HomeBeritaTiada rancangan perkenal semula GST - Amir Hamzah

Tiada rancangan perkenal semula GST – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia kini boleh menarik nafas lega, apabila kerajaan tidak akan memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berpandangan bahawa, pelaksanaan cukai itu secara meluas dilihat menjadi beban kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang sekali gus akan berdepan dengan cabaran kos sara hidup.

Menurut Amir Hamzah, meskipun kadar inflasi pada 2023 memiliki purata sebanyak 2.5 peratus, namun kadar inflasi bagi makanan dan minuman adalah pada 5 peratus.

“Kategori ini (inflasi makanan dan minuman) paling dirasai oleh rakyat.

“Ini antara sebab Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dikekalkan pada kadar 6 peratus untuk makanan dan minuman,” katanya seperti dilapor The Star.

Beliau berkata demikian ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Amir Hamzah menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) berhubung sama ada kerajaan akan memperkenalkan semula GST.

Terdahulu, beliau menekankan kepentingan untuk menutup ketirisan melalui subsidi yang disasarkan dan meluaskan asas cukai bagi meningkatkan ruang fiskal kerajaan.

Jelasnya, kadar asas cukai Malaysia menyaksikan nilai yang rendah iaitu 11.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding Singapura dengan nilai 12.6 peratus.

“Pembaharuan cukai diperlukan, namun kerajaan akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan rakyat tidak terbeban manakala ruang fiskal kekal mampan,” katanya.

Tambahnya, kerajaan turut melakukan pemantauan harga barangan mulai 1 Mac tahun ini berikutan pelaksanaan cukai baharu.

“Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga dengan sengaja,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan mengambil langkah secara berperingkat dengan meluaskn asas cukai kepada pihak yang lebih berkemampuan bagi meningkatkan hasil negara.

Sebagai contoh, katanya, kenaikan 2 mata peratusan dalam SST untuk tarif elektrik dilaksanakan kepada pengguna komersial yang menggunakan lebih 600 kilowatt sejam.

“Ini adalah 15 peratus daripada pengguna terbesar dan untuk baki 85 peratus, tiada cukai dalam bil mereka. Pada masa sama, perkhidmatan air juga dikecualikan daripada SST,” tambahnya.

Berkuat kuasa 1 Mac 2024, cukai perkhidmatan di Malaysia akan dikaji semula daripada 6 peratus kepada 8 peratus.

Namun, kadar cukai baharu bagi perkhidmatan yang digunakan secara meluas oleh rakyat Malaysia seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan tempat letak kereta kekal pada 6 peratus.

 

Author

Pilihan Editor