KUALA TERENGGANU: Fenomena El Nino semamangnya memberi kesan terhadap cuaca, namun setakat ini belum menjejaskan bekalan air bersih di Terengganu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, paras air di empangan dan sungai juga masih terkawal dan tidak berdepan masalah untuk membekalkan air kepada penduduk.
Menurutnya, kerajaan negeri melalui pihak Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan rakyat di Terengganu tidak menerima kesan serius akibat fenomena El Nino.
Namun begitu, beliau turut menegaskan bahawa akan kemungkinan ada campur tangan kawalan air sekiranya kemarau berpanjangan sehingga menjelang Ramadan hingga raya, lapor Berita Harian.
“Hal ini kerana, sudah tentu pada musim tersebut penggunaan air akan semakin bertambah terutamanya menjelang raya.
“Jadi dalam keadaan kemarau dan penggunaan air bertambah tentulah ia akan menjejaskan tetapi sebagai Pengerusi SATU, kita sedang mengambil langkah-langkah bagaimana untuk melakukan intervensi termasuklah meminta semua pihak berjimat dan sebagainya,” ujarnya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan 30 Tahun Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini.