HomeBerita41 kompaun dikeluarkan, satu premis makanan kotor diarah tutup oleh DBKL

41 kompaun dikeluarkan, satu premis makanan kotor diarah tutup oleh DBKL

KUALA LUMPUR: Keadaan kedai begitu kotor lagi menjijikkan, itulah suasana beberapa kedai ketika diserbu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Susulan itu, sebanyak 41 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dikesan dalam Operasi Sepadu Bersih.

Serbuan itu dilakukan terhadap premis makanan yang terletak di The Garden Mall dalam Parlimen Lembah Pantai; Jalan Radin 7 (Parlimen Seputeh); Jalan Menara Gading 1 (Parlimen Cheras) dan tingkat empat NU Sentral (Parlimen Bukit Bintang).

DBKL turut menyenaraikan 63 premis namun hanya 53 premis dapat diperiksa kerana 10 lagi ditutup ataupun tidak beroperasi ketika pemeriksaan dibuat.

“Premis makan yang beroperasi dalam keadaan jijik itu diarah tutup mengikut Seksyen (11) Akta Makanan 1983.

“Selain itu, sebanyak 41 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Ia membabitkan pelbagai kesalahan bersabit aspek kebersihan, petugas serta persekitaran premis telah dikenakan tindakan,” katanya.

DBKL dalam kenyataannya turut menegaskan, tindakan seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang telah ditetapkan.

Author

Pilihan Editor