CYBERJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut bulan Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh umat Islam di negara ini.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka menyeru umat Islam supaya merebut peluang mempertingkatkan amal ibadah dan mengeratkan ukhuwah sesama umat Islam.
Selain itu, baginda turut menasihatkan umat Islam supaya mengetepikan sebarang perselisihan, perbalahan dan perseteruan sempena bulan Ramadan yang penuh barakah.
Sultan Ibrahim juga mengajak seluruh umat Islam untuk bersama baginda bermunajat dan berdoa semoga Malaysia terus dirahmati dan diberkati, serta dilindungi daripada apa jua bentuk ancaman, bencana dan musibah.
Pada Ahad, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan, umat Islam seluruh negara akan mula menunaikan kewajipan ibadah puasa sempena kehadiran bulan Ramadan pada Selasa.
Syed Danial memaklumkan, tarikh permulaan ibadah puasa itu ditetapkan menurut titah perintah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.