KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak benar berhubung insiden ragut yang berlaku di Bandar Sri Menjalara, Kepong, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya telah mengesan video tular memaparkan kejadian ragut rantai leher membabitkan seorang wanita warga tempatan berusia 23 tahun.
Beliau berkata, polis turut menerima satu laporan berhubung kes tersebut dan hasil siasatan mendapati, pengadu bersama teman lelakinya sedang berjalan di tepi kaki lima ketika kejadian sebelum diragut oleh seorang penunggang motosikal.
“Suspek dengan pantas telah menarik rantai leher milik pengadu, menyebabkan teman lelaki pengadu bertindak mengejar peragut tersebut.
“Teman lelaki pengadu berjaya membonceng di belakang motosikal suspek, namun suspek bertindak memecut motosikalnya sehingga teman lelaki pengadu terjatuh dan terhentak di kepala serta patah kaki kanan.
“Mangsa telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ahmad Sukarno berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap individu-individu yang melanggar undang-undang.
“Justeru itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden itu boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222,” katanya.
Terdahulu, video televisyen litar tertutup (CCTV), memaparkan mangsa bertindak membonceng belakang motosikal suspek tular di media sosial.
Menerusi hantaran dimuat naik adik mangsa di laman Facebook Eric Kit, abangnya mengalami kecederaan parah dan kini masih tidak sedarkan diri selepas kejadian.
“Rompakan berlaku pada waktu tengah hari. Abang saya masih koma angkara pelanggaran ini.” katanya.