CYBERJAYA: Dr Muhammad Akmal Saleh mengecam sekeras-kerasnya insiden melampau membaling bom petrol ke kedai serbaneka, KK Mart susulan penjualan stoking tertera kalimah Allah baru-baru ini.
Namun, Ketua Pemuda UMNO itu tetap berpendirian bersama seluruh umat Islam di negara ini untuk meneruskan kempen memboikot kedai serbaneka berkenaan.
“Kita menghormati proses undang-undang untuk dilaksanakan mengikut aturannya tetapi pada masa yang sama kempen boikot KK Mart ini perlu diteruskan.
“Ini bagi memberikan pengajaran yang hebat kepada mereka dan mana-mana pihak yang ingin menghina agama Islam pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu.
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dipetik berkata, siasatan awal polis mendapati, bom petrol yang dilempar ke kedai serbaneka yang terletak di Bidor, Perak itu dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang menaiki kereta pada kira-kira jam 5.35 pagi Selasa.
Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Merlimau itu turut mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan ugutan bunuh, berikutan kelantangannya menggesa kempen boikot itu dilakukan di seluruh negara.
Dr Muhamad Akmal berkata, beliau sudah pun menyerahkan kepada pihak pihak polis untuk menyiasat dan seterusnya dikenakan tindakan yang keras terhadap pihak yang bersalah.
“Untuk meredakan keadaan, kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan seterusnya dikenakan tindakan yang sekerasnya untuk mereka ini,” katanya.
Pada Selasa, beliau mendakwa telah menerima satu ugutan bunuh, susulan tindakannya yang lantang meminta orang ramai memboikot KK Mart akibat penjualan stoking tertera kalimah Allah.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga emas yang juga pemilik sebuah bengkel selepas dipercayai mengeluarkan kata ugutan bunuh ke atas Dr Muhammad Akmal.