HomeBeritaLebih 1,100 pasang kasut miliki logo mirip kalimah Allah dirampas

Lebih 1,100 pasang kasut miliki logo mirip kalimah Allah dirampas

POLIS merampas sebanyak 1,145 pasang kasut yang didakwa memiliki logo mirip kalimah Allah bagi membantu siasatan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, rampasan itu dilaksanakan di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.

“Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk melihat adakah (logo) itu mengikut reka bentuk kasut atau melambangkan tulisan khat (kalimah Allah),” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata, polis turut akan memanggil syarikat pengeluar kasut tersebut bagi membantu siasatan.

“Penjual atau syarikat pengeluar kasut, kita akan panggil. Selain itu, paling penting adalah laporan daripada Jakim.

“Sebanyak lapan laporan diterima berkaitan isu itu sehingga 7 malam Ahad,” tambahnya.

Pada Ahad, media tempatan melaporkan, polis membuka satu kertas siasatan berkaitan dakwaan jenama kasut memaparkan logo mirip kalimah Allah pada tapaknya yang tular di media sosial.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dalam pada itu, Pengurusan Vern’s Holding Sdn Bhd memohon maaf berhubung logo kasut tumit tinggi keluarannya yang menyinggung perasaan umat Islam di negara ini.

Syarikat itu menerusi kenyataan memaklumkan, pihaknya sama sekali tidak berniat untuk menghasilkan reka bentuk logo yang bertujuan untuk memperlekeh atau menghina mana-mana agama atau kepercayaan.

Author

Pilihan Editor