Oleh: WAHYUDIN AL-BALINGI
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghantar tiga kakitangannya selama 10 hari ke Seoul, Republik Korea bagi menghadiri program ‘Athletic Management and Performance Training Clinic’ di sana.
Mereka terdiri daripada Ketua Unit Perubatan dan Sains Sukan FAM, Sivansvaran Suppiah; fisioterapis, Harris Zafran dan penolong jurulatih pasukan kebangsaan, Park Bobae.
Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook FAM pada Jumaat, penyertaan ke program ini adalah menerusi cadangan dan rekomendasi daripada ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon.
Ia sebagai dalam usaha beliau untuk memperkasakan lagi program latihan dan penyediaan pemain menjelang kem latihan pusat kebangsaan yang akan datang.
“Antara agenda program sepanjang mereka berada di Seoul itu termasuklah berkaitan dengan Athletes’ Fascial Release Technique, Joint and Nerve Mobilization Technique, Neuromuscular Rehabilitation Training, Speed & Power Enhancement Training serta Sports Science Application to Athletes’ Management yang dikendalikan oleh pensyarah dari Department of Exercise Science, Willamette University, Dr. Junggi Hong.
“Semoga ilmu yang diperoleh itu dapat memberi manfaat dalam tugasan mereka bersama pasukan-pasukan kebangsaan,” kata kenyataan itu.