BANGSAR: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu pihak yang mengambil kesempatan terhadap isu dalam UMNO juga berhasrat menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau yang juga pemimpin ‘Top Five’ UMNO berkata, pihak itu cuba meraih kelebihan politik dengan menyasarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Kata Menteri Pembangunan Luar Bandar itu, kasihan Perdana Menteri, ada orang ambil kesempatan daripada apa yang berlaku untuk pecah belahkan UMNO.
“Semua orang tahu Perdana Menteri adalah Naib Presiden parti dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah Presiden, dua individu berbeza.
“Ada orang mengambil kesempatan di tengah-tengahnya. Siapa orang yang hendak pecah belahkan ini pun orang yang hendak pergi ke pilihan raya,” katanya kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Perjanjian kerjasama itu ditandatangani Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din.