HomeBeritaPolis mencari pemain bola sepak bawa 'kerambit' ke padang

Polis mencari pemain bola sepak bawa ‘kerambit’ ke padang

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dirakam membawa senjata tajam dipercayai kerambit semasa perlawanan bola sepak di Padang Bola Sepak KLFA, Desa Melati, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, berkata suspek yang juga pemain bola sepak sebuah pasukan, dipercayai membawa senjata tersebut selepas berlaku perselisihan faham antara pasukannya dan pasukan lawan.

“Pengadu yang terlibat dalam perlawanan itu mendakwa mengesan pasukan lawan membawa senjata tajam ke dalam padang.

“Suspek dikatakan mengacukan senjata itu kepada seorang pemain daripada pasukan pengadu,” katanya kepada media hari ini.

Mohamad Lazim berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

“Namun begitu, tiada mana-mana individu dilaporkan cedera dalam perlawanan tersebut.

“Usaha mengesan suspek yang terlibat sedang dijalankan untuk siasatan lanjut melalui pengecaman yang sedang dilakukan,” katanya.

Terdahulu, tiga gambar suspek yang membawa senjata tajam semasa perlawanan bola sepak tersebut tular dalam aplikasi X.

Author

Pilihan Editor