KUALA LUMPUR: Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia akan diturunkan lima sen kepada RM3.30 seliter mulai esok, manakala di Sabah, Sarawak, dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter sehingga 14 Ogos.
Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan hari ini bahawa penyesuaian harga runcit diesel untuk Semenanjung Malaysia kepada RM3.30 seliter adalah selaras dengan trend penurunan harga minyak dunia pada masa ini.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyesuaikan harga runcit diesel dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak untuk menyokong kestabilan harga,” menurut kenyataan tersebut.
Harga runcit petrol RON97 dan RON95 kekal pada paras RM3.47 dan RM2.05 seliter masing-masing.
MOF menegaskan bahawa kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia dan mengambil langkah yang sesuai bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terpelihara.